Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum & Salam Ramadhan buat semua..

Alhamdulillah,syukur pada Allah kerana kita masih diberi nikmat Islam & Iman & masih diberi peluang menghirup oksigen-Nya..

Pada 27-28 Ogos yang lalu, seramai 4 orang Nisa' Batu Gajah telah mengikuti program Iftar Jamaie Nisa' Perak bertempat di Felcra Gugusan Lekir, Sitiawan, Perak.

Program Iftar Jamaie Nisa' Perak merupakan program tahunan Nisa' Perak yang mengumpulkan wakil2 Nisa' dari setiap kawasan. Pengisian program yang menarik & bermanfaat telah berjaya mengikat kesatuan hati antara penggerak-penggerak Nisa' Perak seterusnya mengikat ukhwah antara peserta.

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta yg bermula dari jam 2 hingga 3 petang. Seterusnya sedikit taklimat kepada peserta diberikan oleh ketua Nisa' Lumut.

Taklimat dari Ketua Nisa' Lumut

Aktiviti pertama yang dilakukan pada petang itu adalah aktiviti pengagihan Bubur Lambok kepada orang miskin & kurang berkemampuan di sekitar kawasan Lumut & sitiawan. Peserta dibahagikan mengikut kumpulan bagi memudahkan proses pengagihan bubur lambok. Kami sangat teruja dengan konsep konvoi kereta ke kawasan-kawasan agihan. Nisa' Batu Gajah telah ditempatkan bersama Muslimat Lumut & Nisa' Kampar yang best & ceria. Alhamdulillah, sambil menyampaikan sumbangan, ukhwah turut dapat disemai antara kami.

Konvoi ke kawasan agihan, Depan sekali kete muslimat lumut, diikuti kete Nisa' Kampar & Kami Nisa' Batu Gajah

Pengagihan Bubur lambokMuslimat Lumut

Nisa' Kampar

Urusan pengagihan bubur lambok selesai tatkala menghampiri waktu maghrib. Kami seterusnya berbuka puasa di perkarangan Masjid Felcra Gugusan Lekir. Terima kasih diucapkan buat warga Felcra yang telah bersusah payah memasak makanan yg enak utk semua peserta program.

Menunggu Berbuka Puasa

Nadzirah, Syuhada, Asyikin (Nisa' Batu Gajah) Sy xda dlm gambar, camera girl.huhu

Pada malam hari, solat terawih berjemaah bersama masyarakat tempatan dilakukan di Masjid tersebut. Selepas itu, aktiviti diteruskan bersama Nisa' Perak . Aktiviti Taaruf & sedikit pengisian bersama Ketua Lajnah IT DMP Perak. Simple tetapi penuh dengan pengajaran yg boleh diambil.
Bertemu kawan2 sekampus dulu. UMS. Dari kiri :-Syikin(Nisa' Felcra Lekir, Penulis@Maziah (Batu Gajah), Shalina & Rohaya (Pasir Salak)

Awal pagi Sabtu kami dimulakan dengan ibadah Qiyammullail secara berjemaah. Sewajarnya selaku penggerak Nisa'@penggerak jihad, ibadah Qiyammullail sewajarnya menjadi rutin harian atau sekurang-kurangnya mingguan.

Seusai Solat Subuh & membaca Ma'thurat,sedikit tazkirah telah diberikan oleh Muslimat Lumut. Seterusnya, aktiviti terakhir dilakukan. Pembentangan aktiviti-aktiviti dari setiap Nisa' mengikut kawasan. Banyak aktiviti kawasan lain yang boleh dijadikan contoh & benar-benar menarik hati kami. Perkongsian Aktiviti sebegini sememangnya perlu dilakukan agar dapat membuka minda Nisa' & berkongsi cara bagaimana menarik masyarakat terhadap Nisa'.

Penutupan Aktiviti dilakukan oleh Ketua Nisa' Perak, Pn Haliza Hamidon. Antara point penting yang boleh diambil ialah, kepentingan 'menjaga' peserta yg telah mengikuti program Nisa' agar survival Nisa' dapat diteruskan.

Penutupan oleh Pn Haliza Hamidon, Ketua Nisa' Perak.

Walaupun baru lepas pantang, Pn Haliza masih datang membawa anak yg baru berusia 2 bulan ini.

Akhirnya, secara peribadi, Nisa' Batu Gajah ingin mengucapkan sekalung tahniah & terima kasih buat pihak penganjur, Nisa' Perak, Muslimat & Nisa' Lumut, serta masyarakat Felcra Gugusan Lekir yang telah bertungkus lumus menjayakan progrm ini. Buat semua sahabat-sahabat Nisa' dari setiap kawasan, ayuh kita jalinkan ukhwah agar keterikatan ukhwah ini akan meningkatkan lagi produktiviti Nisa'.
Salam Ukhwah dari kami Nisa' Batu Gajah
( Syuhada, Asyikin, Nadzirah, Maziah(tiada dlm gmbar) )


Salam Ukhwah & Semoga berjumpa lagi..


Wassalamualaikum... :)

Assalamualaikum buat semua..

Dengan mohon Rahmat & Keredaan Allah, Nisa' Batu Gajah, bagi mewakili Cik Nur Asyikin Kamaruddin, Setiausaha Nisa' Batu Gajah, ingin menjemput semua Nisa' Perak & Adik2 KRI ke Majlis Perkahwinannya pada tarikh seperti berikut:-

~Ahad, 12 September 2010, bersamaan 3 Syawal 1431H~
..klik pada gambar utk paparan yg lebih jelas..





Semoga dengan kehadiran anda akan menyerikan lagi majlis beliau.

~Selamat Pengantin baru buat saudari Nur Asyikin & Saudara Hasbullah. Semoga perkahwinan kalian diberkati & kekal hingga ke syurga ~

^_^

Doa untuk bukan Muslim
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Ogos 24, 10
3:50pm

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang 'dikecohkan' sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salah faham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh Umno yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya "malu") dengan fatwa Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan Muslim, saya jawab, saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: "Apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?"

Setelah mendapat SMS itu saya cuba mencari kenyataan Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain, di luar apa yang saya faham.

Perkataan "sejahtera" itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut:

Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu.


Harussani bukan lemah seperti saya

Adapun Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh - bukan lemah seperti saya - dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

Pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam.

Kita memberitahu dunia "Islam adalah agama yang rahmat". Pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan, terutama di media-media kerajaan, "assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam".

Walaupun Nabi SAW - seperti riwayat al-Bukhari - dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim, baginda hanya mengucapkan "assalamualaikum" sahaja. Perkataan "assalamualaikum" itu memang bermaksud "kesejahteraan ke atas kamu".

Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan "salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam". Tidakkah "salam sejahtera kepada bukan beragama Islam" itu satu doa untuk mereka?

Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru "Salam 1Malaysia" juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim. Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: Janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

Nabi jampi orang gila bukan Muslim

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas.

Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

Kata Abdullah bin Mas'ud: "Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi AS yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi SAW pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan Muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing.

Nabi SAW bersabda kepada sahabat tersebut: "Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar".

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan Muslim.

Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam.

Permainan politik

Firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim.

Firman Allah: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" (Surah Hud: 113).

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik.

Sebab itu 'Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: "Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil" (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredaan sesuatu pihak semata-mata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau perincian.

Cina rajin dan kaya

Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda? Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman?

Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan di kalangan mereka?

Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini. Orang Cina khususnya, mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh.

Jika Nabi SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau 'Umar bin Al-Khattab". (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

http://www.malaysiakini.com/columns/140964